Showing posts with label Rosmah Berjaya Walaupun Tanpa Pendidikan Tinggi. Show all posts
Showing posts with label Rosmah Berjaya Walaupun Tanpa Pendidikan Tinggi. Show all posts

Saturday, 17 November 2012

rosmah berjaya walaupun tanpa pendidikan tinggi (kisah 4)

aku suka baca kisah2 orang yang berjaya dalam perniagaan. lagi2 kalau ianya berkaitan dengan jahit-menjahit. sebelum ini aku ada buat entry tentang kisah individu yang berjaya dalam bisnes jahitan. klik sini, sini dan sini kalau nak baca entry lama tu. 

jom baca kisah ini, moga2 dapat menaikkan semangat kita untuk majukan diri dalam bidang ni sekaligus beri semangat untuk kita lebih berusaha dan berjaya...insyaAllah.

Rosmah Berjaya Walaupun Tanpa Pendidikan Tinggi   
by Sharifah Munirah Syed Ahmad Zahir 
KINI kelayakan akademik bukanlah syarat mutlak untuk menjamin kejayaan seseorang dalam apa saja bidang kerjaya yang diceburi. Lambakan golongan berijazah dan berdiploma di pasaran tenaga kerja tempatan adalah bukti kukuh bahawa ‘kelayakan kertas’ atau ‘paper qualification’ bukanlah jaminan yang diharapkan. 
Sebaliknya, mereka yang berkemahiran dalam apa bidang sekali pun, lebih mudah untuk ‘cari makan’. Perkembangan ini membuka ruang yang begitu luas bagi orang ‘biasa’ yang tidak bersekolah tinggi tetapi sebenarnya berminat untuk meningkatkan taraf dan nilai kehidupan masing-masing.  
Justeru, semakin ramai wanita, terutama suri rumah, yang melangkah keluar dari kepompong perwatakan tradisional. Mereka menggunakan kemahiran yang ada untuk menembusi alam perniagaan. Minat yang dulunya dilihat sebagai hobi atau untuk ‘suka-suka’ kini bertukar menjadi lombong emas. Tidak hairanlah kalau semakin ramai suri rumah kini memegang dua portfolio, iaitu sebagai isteri, ibu dan usahawan berjaya.  
Rosmah Pooy, 33, yang berasal dari Serdang, Kedah, memang tidak pernah berangan untuk menjadi usahawan. Minatnya sejak kecil dalam bidang jahitan dianggapnya biasa saja, sekadar terkena tempias kegiatan kakak sulungnya yang mengambil upah menjahit baju. 
Rosmah terus belajar. Dia tidak jemu-jemu mengasah bakat dan kemahirannya dalam bidang jahitan. Usaha gigihnya selama ini tidak sia-sia kerana bakat dan kemahiran anugerah Ilahi itu berjaya menyumbang antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. 
“Mulanya secara kecil-kecilan saja. Tapi, bisnes berkembang apabila pelanggan yakin dan berpuas hati dengan kerja tangan yang dihasilkan. Ini memberi semangat kepada saya untuk meneruskan kegiatan walaupun selepas mendirikan rumah tangga pada 1995,” kata ibu kepada tiga puteri ini.  
Beliau beruntung kerana mendapat sokongan padu suami, Azhar Ahmad, yang bekerja di sektor swasta. Baginya, suami ialah penasihat dan pengkritik utama yang turut berkongsi impian untuk memperluaskan perniagaannya.  
“Bagi saya, kerjaya ini paling ideal. Saya tidak perlu keluar. Masa untuk mengurus anak dan rumah tangga tidak terabai. Apa yang saya buat adalah mengikut rasa dan kemampuan sendiri. Ini keindahannya. Kejayaan bergantung kepada diri sendiri. Kalau rajin, banyaklah habuannya. Begitu juga kalau malas. Kita yang menentukan bangun tidurnya perniagaan,” katanya. 
Ketika ini, salunnya ialah sebuah bilik di rumah teres dua tingkat nombor 53 di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah. Rosmah berazam memperluaskan perniagaannya. Beliau bercadang membuka kedai di kawasan lapang bersebelahan rumahnya sekarang. Impian beliau untuk membuka pusat jahitan dan persolekan sebumbung yang merangkumi pelbagai aspek termasuk penyewaan baju pengantin, hiasan pelamin, pentas, bilik tidur dan sebagainya.  
“Bidang jahitan mempunyai banyak kegiatan hiliran. Banyak potensi untuk dimajukan. Sulaman, seni tampalan dan sebagainya menambah nilai barangan yang dihasilkan. Saya perlu banyak belajar kerana bidang ini pantas berubah. Mesti tahu trend atau perkembangan terkini dalam dunia fesyen. Mesti jadi ‘all-rounder’. Kalau tidak, pasti ketinggalan,” katanya.  
Untuk memenuhi permintaan pelanggan, Rosmah menambah satu lagi kepakaran, iaitu seni menjahit langsir. Sebagai permulaan, beliau belajar menjahit enam jenis hiasan tingkap. Kini Rosmah memperkenalkan pakej khas pasang siap hiasan tingkap bagi memudahkan pelanggan.  
“Ini trend (arah aliran) sekarang. Pelanggan tidak perlu bersusah payah. Beritahu saja hiasan jenis mana yang mereka mahu. Kita akan buat semua. Kalau perlu, kainnya pun boleh kita belikan. Mereka tahu siap saja. Konsep ini amat sesuai bagi masyarakat sekarang kerana kebanyakan wanita yang bekerja memang kesuntukan masa. Memang berpotensi,” katanya.  
Di samping itu, beliau juga berhasrat menembusi bidang jahitan secara tender yang pastinya lebih menguntungkan.  
“Tapi ini projek masa depan. Bagaimanapun, tidak ada kejayaan tanpa impian. Dengan sokongan kuat daripada pelanggan tetap dan yang akan muncul, saya memang yakin dengan bidang yang saya ceburi. 
Ini penting kerana tanpa keyakinan dan usaha, segala yang dirancang tidak akan tercapai,” katanya. 
sumber berita harian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...