Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Saturday, 17 November 2012

kemahiran menjahit (kisah 5)

KOTA KINABALU 31 Okt. - Bidang jahitan bukan lagi asing dalam kalangan kaum Adam, malah ramai yang telah berjaya menjadi pereka fesyen terkenal apabila menceburi kerjaya tersebut. 
Contoh paling mudah ialah Rizalman, Michael Ong, Bill Keith dan Bernard Chandran.
Mereka merupakan pereka fesyen terkemuka dalam industri berkenaan di negara ini.
Di luar negara pula, siapa tidak mengenali anak jati Kelantan, Zhang Toi yang mengukir kejayaan besar di New York, Amerika Syarikat (AS), sebaris dengan pereka tersohor seperti Michael Cors. 
Sehubungan itu, tidak hairanlah jika penganjuran latihan dan kursus seni kreatif jahitan, peserta lelaki turut berlumba-lumba untuk menyertainya dan bukan lagi menjadi penyertaan mutlak golongan wanita seperti sebelum ini. 
Perkara ini diakui sendiri oleh peserta Program 1Azam Kursus Kemahiran Seni Kreatif (Jahitan) iaitu Tuhing Tehing, 22, dari daerah Kota Marudu. 
Dia merupakan seorang daripada dua peserta lelaki yang mengikuti kursus berkenaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah selama tiga bulan bermula 4 Julai lalu di Akademi Jahitan Kota Kinabalu (AJKK). 
"Selepas menamatkan kursus ini, saya akan memulakan perniagaan kecil-kecilan terlebih dahulu di rumah kerana untuk membuka kedai, memerlukan modal kewangan agak besar. Setelah berjaya nanti, barulah saya buka kedai jahit sendiri," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. 
Tuhing berkata, bidang jahitan memerlukan kreativiti dan kemahiran seni yang tinggi agar hasil kerja mereka dapat menepati cita rasa dan kehendak pelanggan. 
Dia mendakwa, dalam hal itu golongan lelaki mempunyai sedikit kelebihan dalam menghasilkan rekaan fesyen termasuk koleksi pakaian untuk wanita. 
"Kebanyakan rekaan fesyen baju termasuklah kasut terkenal pada masa ini mendapat sentuhan pereka lelaki. Tidak usah pergi jauh. Dalam negara kita sendiri ramai pereka fesyen dalam kalangan lelaki. 
"Saya melihat kejayaan mereka ini satu dorongan untuk menceburi bidang seni kreatif jahitan. Saya memang meminati seni dan kursus ini memberikan saya peluang mengasah kemahiran seni jahitan dengan lebih mendalam," ujarnya. 
Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu menambah, dia menyertai Program 1Azam berkenaan setelah diperkenalkan oleh kakaknya yang sebelum ini pernah mengikuti kursus berkenaan. 
Peserta kursus terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam e-Kasih dan akan didedahkan dengan kemahiran membuat pelbagai jenis pakaian sepanjang menyertai kursus itu.
Seorang lagi peserta, Shairun Nujsar Nujum, 17, berkata, bidang seni kreatif jahitan tidak harus dianggap satu kerjaya sampingan lagi, kerana memberikan sumber pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh. 
"Jika dilihat kejayaan pereka-pereka fesyen lelaki masa kini, mereka lebih menonjol berbanding wanita. Ini memberi dorongan kepada kaum lelaki untuk menceburi bidang jahitan," katanya.
             sumber BH


Monday, 19 September 2011

Apa Kata Wanita...Zamzarina Kerja@Rumah (Amoi - Jahit Manik)



saya sengaja letak video ini untuk insipirasi. saya memang minat sangat dengan sulaman manik dan labuci sejak tergoogle fotopages amoi ni. dari situ lah saya dapat ilmu sikit2 dan belajar jahit manik yang mudah2 je. saya memang kagum sangat dengan dia ni sebab kreatif dan banyak idea dalam menata rias baju2 pelanggan dengan sulaman manik yang cukup cantik dan menarik.

masa ramadhan hari tu, saya ada menonton Apa Kata Wanita di tv1, kebetulan amoi menjadi tetamu pada hari tu. rasa seronok tengok rancangan tu sebab dia banyak bagi tips dan kongsi pengalamannya. episod AKW tu saya cari tapi tak jumpa pula di yutube. video ni pula yang saya jumpa. ini kali pertama amoi muncul dalam AKW tapi cuma dalam segmen kerja@Rumah.

ok juga lah jadikan video ini pembakar semangat untuk nak berjaya. kalau nak lawat page amoi ni, klik saja http://amoi2505.fotopages.com atau fb dia http://www.facebook.com/AmoiCreations . harap2 sangat dia akan turun ke sandakan, bolehlah saya berguru dengan dia.


Monday, 2 May 2011

usia bukan penghalang untuk berjaya (kisah 3)

ini kisah ke3 untuk bagi motivasi pada diri saya. harap sangat, saya akan bersemangat dan dapat buka perniagaan besar macam individu ini. aja aja fighting!!!

Pada usia hampir 50 tahun, kebanyakan wanita kaum India akan memilih untuk berehat di rumah. Anak-anak pula mungkin diharapkan untuk memberi bantuan kewangan. Bagaimanapun, tidak begitu dengan Alice Nayagam yang berumur 48 tahun.

Beliau masih mempunyai cita-cita dan impian untuk dikejar. Wanita yang bersemangat waja ini mempunyai matlamat untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Alice adalah seorang tukang jahit yang berjaya dan sangat disegani di sekitar Segambut, Kuala Lumpur. Beliau mempunyai pengalaman menjahit pakaian sejak berumur 19 tahun.

“Saya berasal daripada keluarga yang sangat miskin di Pulau Pinang. Saya anak ketiga dalam keluarga. Memang saya kurang pendidikan,” kata Alice kepada wartawan NILA semasa ditemui di rumah beliau.

Alice berjaya membuktikan bahawa walaupun seseorang tidak mempunyai pendidikan tinggi, mereka masih boleh berjaya jika berusaha gigih.

“Saya mula belajar sendiri untuk menjahit pakaian. Pada masa itu, saya hanya mempunyai satu mesin jahit lama,” Alice menceritakan. “Tetapi kini saya sudah mampu membeli lapan mesin jahit yang canggih dan moden.”

Wanita yang periang dan mudah senyum ini selalu menerima tempahan pakaian daripada orang ramai. Beliau pakar menjahit saree blouse, churidar dan bermacam-macam lagi pakaian wanita. Semuanya dipelajari sendiri selepas melihat pelbagai fesyen pakaian di pasaran.

“Saya bersyukur dengan kejayaan yang saya capai sekarang. Dulu saya hidup susah. Saya terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarga. Saya gembira kerana kerja menjahit merupakan satu pekerjaan yang menjanjikan pendapatan,” kata beliau dengan gembira.

Alice juga sedar bahawa terdapat ramai wanita miskin yang kurang pendidikan. Mereka mungkin berminat untuk belajar cara menjahit. Akan tetapi, mereka tidak mampu menghadiri kelas kerana yuran yang tinggi.

“Saya bermula sebagai seorang yang sangat susah. Jadi saya faham keadaan mereka. Sebab itulah saya mengendalikan kelas menjahit dengan bayaran yang berpatutan. Pinjaman juga boleh diuruskan,” kata Alice sambil menambah: “Kalau kita sudah ada minat dan kesanggupan, jangan berfikir tentang halangan.”

Wanita berumur 48 tahun ini telah membuktikan kata-katanya. Beliau tidak mahu menghabiskan sisa hidup dengan berehat di rumah. Sebaliknya beliau masih mempunyai impian dan cita-cita yang sedang dikejar.

“Saya mahu menjadi tukang jahit yang sangat dikenali dan dihormati,” Alice menegaskan. “Pada masa yang sama, saya mahu membantu golongan wanita yang ingin belajar menjahit.”

Dengan lapan mesin jahit serba moden yang ada sekarang, Alice mengendalikan kelas menjahit. Sehingga sekarang, sudah ramai bekas pelajar beliau membuka kedai jahit sendiri. Alice gembira melihat kejayaan anak murid beliau.

“Dalam bidang menjahit pakaian, kita mesti sedia bersaing. Kita perlu sentiasa peka terhadap citarasa dan fesyen semasa,” kata Alice berdasarkan pengalaman beliau. “Kalau kita tidak sedia bersaing, susah untuk berjaya.”

Kejayaan Alice pasti menjadi dorongan kepada wanita kaum India. Jadikanlah Alice contoh yang baik untuk berusaha mempelajari sesuatu kerja tangan. Umur dan tahap pendidikan bukan penghalang. Apa yang penting adalah keinginan dan cita-cita.

“Walaupun saya tidak berpelajaran tinggi, saya tetap mengambil inisiatif untuk belajar menjahit dan mencapai cita-cita saya. Tukang jahit adalah kerja yang sangat mulia. Kita membantu melindungi tubuh manusia. Kita juga boleh mencuba pelbagai fesyen jahitan. Kalau kita membuat kerja dengan baik dan bermutu, tentu pelanggan kita terus bertambah. Pendapatan kita juga akan bertambah,” kata Alice dengan tegas di akhir wawancara.

Alice boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-62502194 untuk mendapatkan maklumat mengenai kelas menjahit yang dikendalikannya.




Sunday, 1 May 2011

cacat bukan halangan kejayaan si tukang jahit (kisah 2)

ini pula kisah kegigihan seorang yang kurang sempurna tapi menjadi tukang jahit yang berjaya. cukup tercabar tak? bagi kita yang sempurna tapi buat kerja sekadar2 je...tak sungguh2. berbanding si tukang jahit ni, betapa kuatnya semangatnya. tirulah kegigihannya itu hema, aja-aja fighting!

KUALA TERENGGANU, 6 Feb (Bernama) -- Kecacatan bukanlah halangan untuk seseorang itu meraih kejayaan, asalkan mereka mempunyai kemahuan serta azam yang tinggi, pasti apa yang dicita-citakan semuanya mampu dicapai.

Inilah yang dibuktikan oleh Mohamad Ismail, 38, yang kudung kaki kanannya setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Namun kini beliau boleh berbangga kerana berjaya menjadi seorang tukang jahit yang popular dan terkenal di Kampung Kedai Buloh, Bukit Payong, Marang dekat sini.

Mohamad berkata minatnya timbul dalam bidang jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada 1992 apabila motosikal yang ditunggangnya ke tempat kerja, iaitu sebuah Kilang Kelapa Sawit di Kluang bertembung dengan sebuah bas.

Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan parah di bahagian kakinya dan terlantar selama 21 hari di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

Paling mengejutkan dirinya apabila doktor memberitahu kaki kanannya terpaksa dipotong.

"Masa itu, saya rasa hidup ini gelap dan tidak bererti lagi sehinggalah beberapa tahun kemudian, saya ambil keputusan untuk menyertai kursus jahitan di Baitulmal Cheras, Kuala Lumpur selama dua tahun," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kedai Buloh dekat sini baru-baru ini.

KURSUS

Selepas tamat kursus, dia ditawarkan bekerja sebagai tukang jahit di Arked Medan Mara, Kuala Lumpur selama setahun.

Pada masa yang sama juga beliau turut beberapa kali turun naik mahkamah di Johor Baharu menuntut ganti rugi terhadap syarikat bas berkenaan, tetapi keputusan kes tidak berpihak kepadanya.

Namun begitu, syarikat bas berkenaan telah bermurah hati apabila memberikan sedikit wang saguhati sebanyak RM4,000 dan dengan wang itu, Mohamad membuka sebuah kedai jahit yang diberi nama "Mohis Tailor" di Kampung Kedai Buloh pada tahun 2000.

Bermula dengan tempahan secara kecil-kecilan daripada masyarakat setempat, kerjaya Mohamad kini semakin meningkat apabila diberi kepercayaan untuk menjahit pakaian secara kontrak kecil-kecilan oleh beberapa agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim (Perkaya).

"Pada bulan puasa tahun lepas, rezeki datang mencurah-curah dan banyak tempahan daripada pelanggan yang terpaksa saya tolak kerana bimbang tidak mampu untuk menyiapkan tempahan mengikut masa yang dijanjikan," katanya.

Menurut Mohamad, setiap kali musim Hari Raya, beliau mampu memperolehi pendapatan sehingga RM4,000 dan tiga orang pembantunya kadangkala tidak cukup tangan untuk menguruskan tempahan yang semakin meningkat.

RAHSIA KEJAYAAN

Ketika diminta berkongsi rahsia kejayaannya, Mohamad berkata: "Petuanya cukup mudah, kualiti jahitan, mestilah kemas dan sempurna.

"Pelanggan akan merasa selesa dengan pakaian yang dijahit kemas dan menarik dan sekiranya kualiti ini ada, sudah pasti kedai jahit itu mendapat sambutan," kata Mohamad yang berasal dari Kampung Gondang, Binjai Rendah di Marang.

Beliau juga turut bersyukur kerana walaupun cacat, masih ada gadis yang sudi menjadi teman hidupnya dan perkahwinannya dengan gadis sekampung Wan Kamariah Wan Nasir, 27, pada 1999 menguatkan lagi semangatnya untuk terus berjaya.

Hasil perkahwinannya itu, Mohamad dianugerahkan tiga orang cahaya mata berumur antara tiga bulan sehingga enam tahun.

"Walaupun keadaan fizikal saya tidak sempurna seperti orang-orang yang normal dan terpaksa menggunakan kaki palsu, namun hidup saya tetap bahagia ditambah lagi dengan sokongan isteri saya dan sekarang saya juga berbangga kerana mampu memiliki rumah sendiri hasil daripada menjahit," katanya.

Katanya lagi beliau melihat pekerjaan menjahit berpotensi memberikan pendapatan yang baik dan boleh menjamin kehidupan sekiranya dijalankan secara teliti, sempurna dan meyakinkan pelanggan.

BENGKEL

Di Kuala Terengganu ketika ini, menurutnya terdapat beberapa orang tukang jahit yang terdiri daripada orang-orang cacat anggota dan kesemua tukang jahit itu mendapat didikan dan latihan daripada bengkel orang-orang cacat di Pulau Kerengga, Marang.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana masih terdapat orang cacat anggota yang tidak membuat sebarang pekerjaan serta mengharapkan belas simpati daripada orang lain.

Katanya, fenomena ini sedikit sebanyak memberi tafsiran bahawa orang cacat malas berusaha sedangkan mereka sebenarnya mampu melakukan pekerjaan seperti menjadi tukang kayu, tukang rumah, berniaga, atau membuat ukiran kayu untuk menampung perbelanjaan keluarga.

-- BERNAMA



Friday, 29 April 2011

tukang jahit berjaya (kisah 1)

saya sengaja muatkan kisah individu yang berjaya dalam bidang jahitan di blog saya ni. boleh dijadikan pembakar sikap malas yang melampau2 dalam diri saya sejak akhir2 ni...hehehe... paling penting cerita ni dapat menyuntik semangat rajin dalam diri saya...terutamanya dalam menyiapkan semua tempahan2 yang ada sekarang ni. chaiyok! chaiyok!!!

SEMANGAT cekal jiwa berani, sekali genggam menjadi bara, perubahan sikap harus diuji, kelak sampai ke puncak jaya."
Pantun empat kerat itu sering diungkapkan Siti Zakiah @ Ita Amiruddin sepanjang pertemuan dengannya beberapa hari lalu.
Katanya, ungkapan azimat itu dipinjam daripada pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Syed Ahmad Alsagoff, semasa Ita mengikuti kelas pidato.
Bagaikan tidak percaya seorang tukang jahit wanita mengikuti kelas pakar pidato itu?



Menjengah ke premisnya, Butik Ita De Fashion di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, jelas ternampak kelainan beliau berbanding usahawan wanita yang lain. Kata-kata azimat terpampang di setiap sudut butik, begitu juga dengan sijil dan pencapaian yang pernah diperoleh beliau.

"Semua ini saya jadikan semangat untuk terus gigih berusaha. Andainya berhadapan dengan masalah, saya akan merenung semula kata-kata perangsang ini," ujarnya.
Selain menjahit, Ita juga aktif dalam bidang kesusasteraan. Ketika menuntut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak dahulu, beliau pernah mewakili institusi pengajian tinggi itu dalam pertandingan pidato.

Malah beliau juga pernah mewakili daerah Hulu Langat dalam pertandingan pidato peringkat negeri di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.
"Rasa bangga jugalah sebab kebanyakan peserta yang bertanding merupakan pelajar universiti tetapi saya cuma belajar di IKBN.

"Walaupun begitu, saya tetap dapat tempat kelima daripada berbelas-belas peserta," ujarnya bangga.

Sebenarnya, wanita yang baru mencecah usia 33 tahun ini bukan calang-calang orangnya. Memulakan perniagaan sendiri seawal usia 20 tahun, ibu kepada sepasang cahaya mata ini cukup matang berbanding usianya.

Mendapat pendidikan dalam bidang jahitan di Institut Kemahiran Baitulmal dan IKBN Peretak, Ita membuka perniagaan jahitan dengan menyewa sebuah kedai kecil di Pasar Besar Cheras berbekalkan modal sebanyak RM10,000 yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya.

ITA kini menjadi kebanggaan keluarga.


"Pada awalnya saya bermula secara kecil-kecilan dari rumah," ujar Ita ramah.
Lapan tahun di situ, Ita sudah masak sangat dengan selok-belok perniagaan.
Selain keupayaannya menerima tempahan pakaian lelaki dan wanita merangkumi semua jenis fesyen, beliau juga memberanikan diri dengan mendapatkan kontrak daripada sektor awam dan syarikat korporat.

Pelbagai kontrak berjaya diperolehnya, antaranya menyediakan uniform dan juga menjahit langsir pejabat.

Dengan berkembangnya perniagaan tersebut, barulah beliau berani membuka Butik Ita De Fashion yang lebih luas dan selesa sejak lebih tiga tahun lalu.
Selain rajin berusaha, Ita juga seorang yang bijak mencuri peluang. Mengakui beliau tidak memiliki kelulusan yang tinggi dalam akademik, Ita yakin dirinya mempunyai kelebihan tersendiri.

"Bapa saya memang menentang apabila mengetahui saya memilih bidang ini. Dia mahu saya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti adik-adik saya. Tapi saya sendiri yang tak mahu," katanya.

Dengan ilmu jahitan dan perniagaan yang dimilikinya selama 12 tahun itu, Ita tidak lokek untuk berkongsi dengan orang lain. Baginya, tidak salah berkongsi asalkan ia memberi manfaat kepada semua.

Pernah dilantik sebagai mentor kursus jahitan dalam program anjuran bersama Mara dan Puteri UMNO sejak 2006, beliau juga telah berjaya melahirkan beberapa usahawan wanita yang ingin menjadi sepertinya.

"Saya tahu bagaimana rasanya mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai modal yang cukup dan tidak tahu bagaimana mahu bermula," ujarnya.

SUDAH 12 tahun wanita ini terlibat dalam bidang jahitan.


Kerana itu beliau sehingga kini masih melatih sesiapa sahaja yang ingin belajar menjahit dengan bayaran yang berpatutan dan kelas yang fleksibel.
Tidak cukup dengan butik, Ita mengembangkan pula sayap perniagaannya dengan menyertai syarikat jualan langsung. Baginya, setiap masa yang ada harus digunakan sebaik mungkin.

Menyertai syarikat jualan langsung yang menjual produk kelengkapan rumah, pakaian dan kesihatan, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Terbaru, Ita membuka sebuah premis di Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur khusus untuk memasarkan dua produk syarikat itu.

Dengan menyertai syarikat itu, beliau juga terlibat dengan kursus kepimpinan dan pelbagai program yang sangat memberi impak kepada tahap keyakinan dirinya.
Kebolehan itu jugalah yang dimanfaatkannya untuk mendapatkan tender daripada beberapa syarikat korporat dan juga sektor awam.

Bercakap mengenai keluarga, Ita merupakan anak sulung daripada lima beradik. Beliau berkahwin dengan Shaiful Bahri Ahmadi, 34.

"Keluarga saya sangat unik. Dua daripada kami memiliki kemahiran. Dua lagi berjaya dalam akademik," katanya yang tetap merancang masa depan kedua-dua orang anaknya walau sesibuk mana pun beliau.

Dua anak Ita ialah Muhammad Haziq, 8, dan Nur Haziqah Najwa, kini berusia tujuh tahun.

"Saya hantar Najwa ke sekolah aliran Cina. Sejak umur empat tahun lagi dia sudah belajar di situ," katanya.

Tambah Ita: "Saya harap suatu hari nanti dia dapat menjadi pembaca berita bahasa Cina di televisyen yang belum pernah diceburi kaum Melayu."


BUTIK ITa De Fashion turut menawarkan kelas menjahit yang fleksibel.


Mengenai pencapaian yang diperoleh sepanjang bergiat dalam perniagaan itu, Ita baru-baru ini telah menerima Anugerah Usahawan Berjaya (Wanita) daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, Ita juga bangga dengan anugerah yang buat julung kali diperkenalkan Institut Baitumal kepada bekas pelatihnya iaitu Anugerah Usahawan Baitumal 2009 yang diraih Ita, Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang rakan niaga yang dahulu merupakan pelajar kelas menjahit beliau mengakui keunggulan personaliti wanita itu.
"Saya hanya seorang suri rumah semasa belajar menjahit dengan Ita. Selepas beberapa bulan, saya semakin mahir dan sekarang menjadi rakan niaga pula," kata Rozita Sahar, 41.


"Dia seorang wanita cekal yang berani menghadapi pelbagai risiko. Dalam keluarga, dia seorang ibu yang sangat mengambil berat terhadap anak-anak
.
"Dengan kawan-kawan pula dia seorang yang sangat setia dan seronok untuk berkawan," ujar Rozita.

SUMBER:KOSMO!Online




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...