ini kisah ke3 untuk bagi motivasi pada diri saya. harap sangat, saya akan bersemangat dan dapat buka perniagaan besar macam individu ini. aja aja fighting!!!
Pada usia hampir 50 tahun, kebanyakan wanita kaum India akan memilih untuk  berehat di rumah. Anak-anak pula mungkin diharapkan untuk memberi bantuan kewangan. Bagaimanapun, tidak begitu dengan Alice Nayagam yang berumur 48 tahun.
 
Beliau masih  mempunyai cita-cita dan impian untuk dikejar. Wanita yang bersemangat  waja ini mempunyai matlamat untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang  yang diceburi.
 
Alice adalah seorang tukang jahit yang berjaya dan sangat disegani di sekitar  Segambut, Kuala Lumpur. Beliau mempunyai pengalaman menjahit pakaian sejak berumur  19 tahun.
 
“Saya berasal daripada keluarga yang sangat miskin di Pulau Pinang. Saya anak  ketiga dalam keluarga. Memang saya kurang pendidikan,” kata Alice kepada  wartawan NILA semasa ditemui di rumah beliau.
 
Alice berjaya membuktikan bahawa walaupun seseorang tidak mempunyai pendidikan  tinggi, mereka masih boleh berjaya jika berusaha gigih.
 
“Saya mula belajar sendiri untuk menjahit pakaian. Pada masa itu, saya hanya  mempunyai satu mesin jahit lama,” Alice menceritakan. “Tetapi kini saya sudah  mampu membeli lapan mesin jahit yang canggih dan moden.”
 
Wanita yang periang dan mudah senyum ini selalu menerima tempahan pakaian  daripada orang ramai. Beliau pakar menjahit saree blouse, churidar  dan bermacam-macam lagi pakaian wanita. Semuanya dipelajari sendiri selepas  melihat pelbagai fesyen pakaian di pasaran.
 
“Saya bersyukur dengan kejayaan yang saya capai sekarang. Dulu saya hidup  susah. Saya terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan keluarga. Saya  gembira kerana kerja menjahit merupakan satu pekerjaan yang menjanjikan  pendapatan,” kata beliau dengan gembira.
 
Alice juga sedar bahawa terdapat ramai wanita miskin yang kurang pendidikan.  Mereka mungkin berminat untuk belajar cara menjahit. Akan tetapi, mereka tidak  mampu menghadiri kelas kerana yuran yang tinggi.
 
“Saya bermula sebagai seorang yang sangat susah. Jadi saya faham keadaan  mereka. Sebab itulah saya mengendalikan kelas menjahit dengan bayaran yang berpatutan. Pinjaman juga boleh diuruskan,” kata Alice sambil menambah: “Kalau kita sudah ada minat dan kesanggupan, jangan berfikir tentang halangan.”
 
Wanita berumur 48 tahun ini telah membuktikan kata-katanya. Beliau tidak mahu menghabiskan sisa hidup dengan berehat di rumah. Sebaliknya beliau masih mempunyai impian dan cita-cita yang sedang dikejar.
 
“Saya mahu menjadi tukang jahit yang sangat dikenali dan dihormati,” Alice menegaskan. “Pada masa yang sama, saya mahu membantu golongan wanita  yang ingin belajar menjahit.”
 
Dengan lapan mesin jahit serba moden yang ada sekarang, Alice mengendalikan  kelas menjahit. Sehingga sekarang, sudah ramai bekas pelajar beliau membuka  kedai jahit sendiri. Alice gembira melihat kejayaan anak murid beliau.
 
“Dalam bidang menjahit pakaian, kita mesti sedia bersaing. Kita perlu sentiasa  peka terhadap citarasa dan fesyen semasa,” kata Alice berdasarkan pengalaman  beliau. “Kalau kita tidak sedia bersaing, susah untuk berjaya.”
 
Kejayaan Alice pasti menjadi dorongan kepada wanita kaum India. Jadikanlah Alice  contoh yang baik untuk berusaha mempelajari sesuatu kerja tangan. Umur dan  tahap pendidikan bukan penghalang. Apa yang penting adalah keinginan dan  cita-cita.
 
“Walaupun saya  tidak berpelajaran tinggi, saya tetap mengambil inisiatif untuk belajar menjahit dan mencapai cita-cita saya. Tukang jahit adalah kerja yang  sangat mulia. Kita membantu melindungi tubuh manusia. Kita juga boleh mencuba  pelbagai fesyen jahitan. Kalau kita membuat kerja dengan baik dan bermutu, tentu pelanggan kita terus bertambah. Pendapatan kita juga akan bertambah,”  kata Alice dengan tegas di akhir wawancara.
 
Alice boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-62502194 untuk mendapatkan  maklumat mengenai kelas menjahit yang dikendalikannya.
 